Doa Dhuha : Pecahkan kesukaran dengan doa hebat ini

doa, dhuha, solat dhuha

Doa Dhuha disebut ramai alim ulama sebagai antara doa mustajab dan sangat berkuasa jika diamalkan secara istiqamah, penuh penghayatan dan pengharapan.

Ia doa lazim yang dilafazkan setelah mengerjakan solat sunat minimum dua rakaat atau lebih. Solat ini dikenali solat Dhuha dilakukan pada waktu pagi.

Cara-cara solat Dhuha akan diperincikan pada bahagian akhir artikel ini. Kita lanjutkan dengan doa Dhuha dahulu. Teruskan pembacaan!

Hebatnya doa Dhuha

Sangat hebat dan besar ganjaran solat serta doa ini. Berikut sebahagian daripadanya.

1. Ia seperti solat orang bertaubat

Ini seperti ditegaskan sendiri Rasulullah saw ketika keluar menuju tempat ahli Quba’ yang sedang solat Dhuha, lalu baginda bersabda bermaksud:

“Solat Awwabin (orang yang taubat) dilakukan ketika terik matahari.” – Hadis riwayat Imam Muslim.

2. Dicukupkan rezeki

Ini bertepatan dengan hadis daripada Nu’aim bin Hammar yang menyebut, “Saya mendengar Rasulullah saw bersabda bahawa Allah berfirman bermaksud:

“Wahai anak Adam, janganlah engkau hingga tertinggal mengerjakan solat empat rakaat pada permulaan siang (waktu Dhuha), nescaya Aku akan memberi kecukupan kepadamu sampai akhir siang.” – Hadis riwayat Imam Abu Dawud.

3. Pahalanya menyamai ibadat haji dan umrah

Ini seperti hadis daripada Anas ra yang menyebut Rasulullah saw bersabda bermaksud:

“Sesiapa solat Subuh berjemaah lalu dia tetap duduk (di masjid) untuk berzikir kepada Allah sehingga matahari terbit (dan meninggi), kemudian solat (Dhuha) dua rakaat maka dia mendapat pahala sebagaimana pahala haji dan umrah.” – Hadis riwayat al-Tirmidzi. 

Apakah doa Dhuha?

Doa dhuha ialah lafaz doa lazim selepas solat Dhuha yang dalam versi Melayu bermaksud:

”Ya Allah, sesungguhnya waktu Dhuha itu DhuhaMu, kecantikannya kecantikanMu, keindahannya keindahanMu, kekuatannya kekuatanMu, kekuasaannya kekuasaanMu dan perlindungannya perlindunganMu.

“Ya Allah, jika rezekiku masih di langit, turunkanlah. Jika di bumi, keluarkanlah. Jika sukar, mudahkanlah. Jika haram, sucikanlah. Jika jauh, dekatkanlah.

“Berkat waktu Dhuha, kecantikanMu, keindahanMu, kekuatanMu dan kekuasaanMu, limpahkan kepadaku segala yang telah Engkau limpahkan kepada hambaMu yang soleh.”

Cara Mudah Menghafaz Doa Dhuha

Bagaimana mengerjakan solat Dhuha?

Solat Dhuha hukumnya sunat muakad. Rasulullah saw selalu mengerjakan solat sunat ini, malah menggalakkan para sahabat menunaikannya.

Waktu Dhuha biasanya bermula 28 minit selepas waktu Syuruk. Anda perlu rujuk kalendar di lokasi masing-masing mengikut daerah dan negeri untuk mengetahui waktu syuruk.

Detik paling akhir solat Dhuha ialah kira-kira sembilan minit sebelum masuk solat Zohor.

Waktu Solat Seluruh Kawasan Di Malaysia

Lazimi solat dan doa Dhuha

Ia dikerjakan ketika matahari bergerak naik hingga matahari mulai condong. Rakaat solat Dhuha minimum ialah dua rakaat. Ia boleh dilakukan tanpa had rakaat seperti enam, lapan dan 12.

Kecuali niat mengerjakan solat Dhuha kerana Allah taala, semua turutan dan bacaan lain sama dengan solat biasa.

Lazimilah menunaikannya solat Dhuha setiap hari. Ia sangat mudah. Mulai sekarang, pecahkan setiap kesukaran hidup dengan melazimi doa hebat solat Dhuha setiap pagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *