Pada musim pandemik ini sudah banyak berita kematian yang kita terima di dada-dada akhbar dan juga dari mulut ke mulut. Berita ini amat merunsingkan kita sebagai manusia dan juga rakyat Malaysia. Bukan itu sahaja, seorang pembuat keranda dan pengukir batu nisan juga berasa agak takut memandangkan permintaan tempahan keranda semakin meningkat ekoran peningkatan kematian pesakit pada zaman ujian pandemik melanda ini.
“SEPATUTNYA saya rasa gembira bila tempahan keranda yang banyak bermakna pendapatan saya juga bertambah tapi sekarang bila makin banyak tempahan membuatkan saya takut.”
Begitulah kata seorang pembuat keranda dan pengukir batu nisan bernama Mohd. Fozailah Hussain yang mendapat tempahan keranda yang agak meningkat ekoran kenaikan kes kematian daripada COVID-19 hampir setiap hari.
Wabak Virus COVID-19 yang melanda dunia sejak awal tahun lalu itu sememangnya telah memberi kesan yang sangat mendalam kepada dunia. Realitinya di Malaysia sahaja, kehidupan orang ramai bertukar melarat apabila kebanyakan daripadanya kehilangan sumber pendapatan dan ini berlaku sejak virus merbahaya itu mula dikesan pada awal tahun lalu. Apa yang lebih menyedihkan, ramai yang bersedih kerana kehilangan ahli keluarga akibat jangkitan wabak tersebut.
Sebanyak 7,718 nyawa telah diragut COVID-19 sehingga hari ini, walaubagaimanapun terdapat ramai lagi yang sedang bertarung nyawa di unit rawatan rapi (ICU).
Mohd. Fozailah, 53, berpendapat bahawa peningkatan jumlah tempahan keranda dikedainya benar-benar menginsafkan diri dimana ini menunjukkan bahawa virus yang secara tiba-tiba wujud dan sedang menular ini benar-benar berbahaya.
Setelah 11 tahun mengusahakan perniagaan pembuatan keranda dan batu nisan ini, bulan ini merupakan tempahan tertinggi yang pernah diterima olehnya. Mohd. Fozailah memberitahu yang pada kebiasaannya dia hanya mampu menjual dua buah keranda setiap hari, namun melonjak sehingga 10 keranda ketika musim pandemik ini.
“Saya rasa takut bila tempahan semakin banyak dan ini membuatkan saya setiap hari memikirkan angka kematian daripada COVID-19 yang kian meningkat di Malaysia.
“Bulan ini sahaja saya telah menjual 70 buah keranda dan ia merupakan tempahan paling banyak setakat ini yang saya dapat daripada penyelia kubur serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menguruskan jenazah-jenazah COVID-19.
“Sepatutnya saya gembira apabila pendapatan bertambah tetapi perkara ini membuatkan saya semakin takut dan insaf,” Jelas Mohd Fozailah yang menetap di Kampung Sungai Sireh Tambahan, Klang.
Setiap keranda yang dibuat mempunyai saiz panjang 74 inci x 18 inci dijual dengan harga RM250 tetapi adakalamya perlu diubah suai sedikit mengikut saiz jenazah. Setiap keranda yang dibuat tersebut pula mengambil masa 30 minit untuk disiapkan sambil dibantu oleh anaknya, Mohd Aiman Faiz, 24.
Mohd. Fozailah menjelaskan lagi yang peningkatan jumlah kematian daripada COVID-19 ini membuatkan dia menyiapkan antara empat hingga enam keranda lebih awal sebagai persediaan awal.
Untuk tugas pengurusan jenazah pula, Mohd. Fozailah menggunakan sebuah van dan juga sebuah motosikal bagi tujuan menghantar keranda ke Tanah Perkuburan Islam Selat Klang yang terletak kira-kira 500 meter dari kedai miliknya.
“Saya harap orang ramai terus patuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan dan kekal berada di rumah supaya kita dapat bendung penularan COVID-19 ini. “Saya juga berdoa keadaan dalam negara kita dapat pulih seperti sediakala,” kata Mohd Fozailah mengakhiri perbualan.
Semoga kita akan sentiasa memperbaiki diri dan juga hubungan dengan tuhan demi kehidupan yang lebih berkat dan terjamin dunia dan akhirat. Semoga kita juga dijauhi dari wabak virus COVID19 yang sekarang masih lagi bermaharajalela dengan varian baru.