Baki KWSP bawah RM10,000, Melayu paling ramai
Setiap orang pasti sudah maklum bahawa musim pandemik Covid-19 yang telah berlaku sejak awal tahun 2020 memberikan impak dan kesan teruk yang ketara kepada kemerosotan fungsi ekonomi serta pendapatan golongan para peniaga, majikan dan juga para pekerja yang bergantung kepada gaji bulanan.
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menganggarkan bahawa ahli-ahli yang terkesan perlu bekerja antara empat hingga enam tahun tambahan untuk membina semula simpanan yang telah dikeluarkan semasa pandemik Covid-19.
Jabatan Hal Ehwal Korporat KWSP pula telah menyatakan yang kemudahan pengeluaran seperti i-Lestari, i-Sinar, dan i-Citra telah mengakibatkan kejatuhan dalam peratusan ahli yang mencapai simpanan asas iaitu RM240,000 pada 55 tahun, iaitu daripada 36 peratus pada tahun 2020 kepada anggaran 27 peratus pada hujung tahun ini. Jumlah kejatuhan peratusan tersebut adalah amat ketara sekali.
“Berikutan keperluan untuk melindungi masa depan ahli dan membina semula dana persaraan mereka, sebarang pengeluaran luar biasa tambahan pada masa hadapan perlu dipertimbangkan dengan teliti.
“KWSP berharap langkah-langkah yang dilaksanakan untuk menyokong pemulihan ekonomi dan merangsang pekerjaan akan membantu ke arah memenuhi keperluan rakyat,” menurut pihak KWSP.
Oleh kerana itu, pihak KWSP kini telah fokus dalam membantu para ahli membina semula simpanan demi masa depan semasa persaraan kelak.
KWSP memberikan jaminan tersebut selepas kemudahan pengeluaran seperti i-Lestari, i-Sinar, dan i-Citra yang diwujudkan berikutan pandemik Covid-19 telah mengakibatkan pengeluaran sejumlah RM101 bilion serta disalurkan kepada lebih 7.4 juta ahli, atau lebih daripada separuh jumlah keseluruhan ahli KWSP.
Baca Juga: e-Wallet RM150 One-Off Untuk 2 Juta Belia
Pihak KWSP juga berkata yang walaupun pengeluaran tersebut telah memberikan sedikit kelegaan dari segi kewangan kepada ahli semasa pandemik dan pelbagai peringkat semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun jumlah simpanan yang telah dikeluarkan kini telah menyebabkan seramai 6.1 juta ahli mempunyai kurang daripada RM10,000 baki dalam akaun KWSP mereka.
“Daripada jumlah tersebut, seramai 3.6 juta mempunyai kurang daripada RM1,000, seterusnya menjadikan mereka lebih rentan dan tanpa perlindungan persaraan.
“Kejatuhan dalam jumlah simpanan ini ternyata lebih merisaukan untuk ahli Bumiputera, memandangkan seramai 78 peratus, atau lebih tiga perempat telah memohon untuk fasiliti pengeluaran tersebut.
“Akibatnya, seramai 4.4 juta, atau 54 peratus ahli Bumiputera kini mempunyai kurang daripada RM10,000, dan 2 juta, atau 25 peratus mempunyai kurang daripada RM1,000, ” menurut KWSP lagi sambil menyifatkan bahawa pengagihan simpanan sudah menjadi semakin tidak saksama.
“Kumpulan 40 peratus terbawah ahli KWSP yang lebih kurang 5 juta ahli menyaksikan simpanan mereka jatuh sebanyak 38 peratus kepada hanya RM8 bilion, menjadikan baki simpanan median sebanyak RM1,005.
“Kumpulan 40 peratus pertengahan juga mengalami kejatuhan sebanyak 18% kepada RM155 bilion, atau baki median sebanyak RM24,995,” katanya.
Pihak KWSP berkata lagi yang hanya kumpulan 20 peratus teratas yang berumur di bawah 55 tahun menyaksikan kenaikan dalam simpanan, namun ini mencapai median berjumlah RM152,043, atau bersamaan dengan hanya RM633 sebulan untuk 20 tahun.
“Ketiga-tiga pengeluaran luar biasa ini telah menyebabkan 73 peratus, atau hampir tiga perempat, ahli berada dalam situasi serius di mana jumlah dana mereka tidak cukup untuk bersara melebihi paras kemiskinan,” katanya.
Apapun yang berlaku, pihak KWSP yakin bahawa Pelan Pemulihan Negara, program vaksin, kes harian Covid-19 dan kemasukan ke hospital yang telah menurun secara konsisten, akan memulihkan semula sektor ekonomi disamping rakyat Malaysia mula keluar bekerja. Ini sekaligus akan memperbaiki taraf hidup mereka.
KWSP juga memberitahu bahawa Belanjawan / Bajet 2022 menyaksikan peruntukan RM8.2 bilion untuk Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) dan RM4.8 bilion untuk Inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia (JaminKerja), serta pelbagai langkah yang mencerminkan pendirian kerajaan dalam memperkukuhkan agenda perlindungan sosial untuk rakyat Malaysia.
“Usaha ini juga dapat dilihat melalui kesinambungan insentif i-Saraan dan Kasih Suri Keluarga Malaysia. Usaha-usaha ini sedikit sebanyak dapat membantu ke arah menangani sebarang kepincangan sistem perlindungan sosial negara untuk masyarakat rentan, bagi memastikan mereka diberi akses kepada mencapai taraf hidup minimum biarpun dalam persekitaran yang tidak dijangka.
“Agenda perlindungan sosial yang diterajui oleh Majlis Perlindungan Sosial Malaysia (MySPC), yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, kini sedang mengkaji pembaharuan asas kepada sistem perlindungan sosial negara.
“KWSP menyokong penuh langkah-langkah ini dan akan bekerjasama rapat dengan kerajaan untuk memastikan masa depan yang terjamin dan terpelihara untuk ahli dan rakyat,” tambah KWSP lagi.
Baca Juga: Seekor Lembu ‘Dipukul’ T4ufan Tersangkvt Di Atas Pokok