Bendera Malaysia Sebidang Kain Penyatu Negara

bendera-malaysia-sebidang-kain-penyatu-negara

Bendera Malaysia tiba-tiba menjadi topik hangat setelah dipaparkan dengan bintang pecah lima dan sepuluh jalur di acara pembukaan suatu acara sukan di tanah air. Peristiwa tersebut menjadi tular lalu membangkitkan kemarahan rakyat Malaysia yang memandang tinggi bendera yang dipanggil Jalur Gemilang itu. Pada masa yang sama, rakyat juga mulai peka dan mengambil tahu berkenaan bendera yang telah wujud sejak 1950 itu.

Bukan Sekadar Sebidang Kain Yang Dikibarkan

Bagi rakyat Malaysia, Jalur Gemilang bukanlah semata-mata sebidang kain yang dikibarkan. Ianya mempunyai maksud yang mendalam dan mempunyai sejarah yang tersendiri. Ia melambangkan kepimpinan, simbol penghormatan, martabat dan kedaulatan bagi negara yang mereka cintai ini. Setiap kali melihat bendera ini dipaparkan atau dikibarkan, pasti akan mewujudkan perasaan bangga kepada negara. Justeru itu, adalah penting untuk kita mengenalinya dengan lebih mendalam.

Bendera Malaysia mempunyai jalur merah dan putih melintang yang sama lebar. Ia bermula dengan warna merah dan berakhir jalur putih di bawah. Ada empat belas jalur kesemuanya, melambangkan 13 negeri dan satu wilayah persekutuan. Bintang pecah empat belas dan anak bulan berwarna kuning pula berada di dalam kotak biru. Warna merah melambangkan gagah berani manakala putih bermaksud suci murni. Kuning pada bulan dan bintang merupakan warna diraja dan melambang raja- raja melayu.

Sejarah Bendera Malaysia

Menurut laman web MyGOV, sejarah bendera ini bermula pada pada 29 November 1949, apabila Majlis Raja-Raja dengan kerjasama Majlis Perundangan Persekutuan telah mengadakan pertandingan peringkat kebangsaan untuk memilih reka bentuk bendera bagi kerajaan yang bakal dibentuk. Bendera ciptaan Encik Mohamed bin Hamzah yang merupakan seorang arkitek Jabatan Kerja Raya Negeri Johor telah dipilih sebagai pemenang. Setelah melalui beberapa pindaan ianya pertama kali dikibarkan di perkarangan Istana Sultan Selangor dengan dihadiri oleh DYMM Raja-Raja Melayu dan pegawai-pegawai King George VI pada 26 Mei 1950.

Setelah dikibarkan secara rasmi pada 31 Ogos 1957, bendera bersejarah ini kemudiannya dinamakan Jalur Gemilang oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad. Beliau yang merupakan Perdana Menteri ketika itu menamakanya pada ulangtahun kemerdekaan Malaysia yang ke empat puluh pada 31 Ogos 1957. Jalur Gemilang menjadi lambang penyatuan negara dan seharusnya dihormati dan dikenali oleh seluruh rakyat Malaysia.

Didik masyarkat dan generasi akan datang agar sejarah dan nilai bendera ini terus dipelihara. Sebagaimana nasi lemak yang menjadi kebanggaan dan kemestian, bendera kita pun harus berada di hati kita semua. Ayuh kibarkan bendera kita dengan penuh rasa bangga menjadi anak Malaysia!

Noor Azlin Mohamad

Blogger yang suka menulis kisah yang memberi inspirasi dan share maklumat berguna untuk semua.

Related Posts

© 2023 Onviral - Theme by WPEnjoy · Powered by WordPress