Cara Melupuskan Al-Quran Yang Rosak Disebabkan Banjir

Al-Quran adalah kalam suci bagi umat islam dan kita wajib memelihara kehormatan dan adab tidak kira dimana pun letaknya . Pembuatannya boleh dikatakan hampir sepenuhnya  menggunakan kertas  baik dari tulisan tangan mahupun yang dicetak. Maka Al-quran juga tidak terlepas dari proses kerosakan seperti buku-buku yang lain.

Menjawab persoalan bagaimana cara terbaik untuk melupuskan al-quran yang telah rosak ,Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri ada jawapannya. Semoga bermanfaat.

CARA MELUPUSKAN AL-QURAN YANG ROSAK

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Bagaimana cara untuk melupuskan al-Quran yang telah rosak. Contohnya mushaf al-Quran yang rosak disebabkan banjir yang melanda. Mohon penjelasan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Definisi al-Quran dan dan Kemuliaannya

Menurut al-Qamus al-Muhit, al-Quran dari sudut bahasa bermaksud al-Tanzil (التَّنْزيل) iaitu yang diturunkan (Lihat al-Qamus al-Muhit, 1/49) Menurut al-Mu’jam al-Wasit, al-Quran adalah kata terbitan daripada al-Qiraah (القراءة), iaitu bacaan sebagaimana firman Allah SWT:

إِنَّ عَلَيْنَا جَمْعَهُ وَقُرْآنَهُ ﴿١٧)‏ فَإِذَا قَرَأْنَاهُ فَاتَّبِعْ قُرْآنَهُ

Maksudnya: Sesungguhnya Kamilah yang berkuasa mengumpulkan Al-Quran itu (dalam dadamu), dan menetapkan bacaannya (pada lidahmu); Oleh itu, apabila Kami telah menyempurnakan bacaannya (kepadamu, dengan perantaraan Jibril), maka bacalah menurut bacaannya itu.[1]

Kata qur’anah (bacaannya) pada ayat di atas bererti qira’atuh (bacaannya/cara membacanya).[2]

Firman Allah SWT:

وَقُرْآنَ الْفَجْرِ ۖ إِنَّ قُرْآنَ الْفَجْرِ كَانَ مَشْهُودًا

Maksudnya: “Dan (dirikanlah) sembahyang subuh sesungguhnya sembahyang subuh itu adalah disaksikan (keistimewaannya).”[3]

Dikatakan juga bahawa al-Quran adalah majaz (kiasan) bagi solat, sebab itu ditafsirkan firman Allah SWT di atas dengan solat Fajr, dan dinamakan al-Quran kerana ianya adalah rukun sebagaimana dinamakan ruku’ dan sujud. Dikatakan juga sesungguhnya kalimah al-Quran digunakan dengan makna yang hakiki (sebenar).[4]

Dari sudut Istilah, al-Quran adalah kalam tuhan sekalian alam yang diturunkan oleh Malaikat Jibril kepada Nabi Muhammad SAW untuk hidayah bagi manusia semuanya.[5]

Syeikh Muhammad Ali al-Sobuni pula mendefinisikan: Al-Quran adalah Kalam Allah yang mukjizat yang diturunkan kepada penutup segala Nabi dan Rasul melalui Malaikat Jibril AS yang ditulis pada mashaf-mashaf yang dipindahkan kepada kita secara mutawatir dengan membacanya adalah ibadah bermula dengan surah al-Fatihah dan diakhiri dengan surah al-Nas.[6]

Makna al-Quran yang disepakati oleh Ulama’ Usul, fuqaha’ dan Ulama’ Bahasa – Al-Quran adalah Kalam yang mukjizat yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW pada mazhaf yang dipindahkan secara mutawattir dan membacanya adalah Ibadah.[7]

Definisi al-Quran dari sudut Istilah yang masyhur ialah: Kitab yang diturunkan Allah secara mutawatir kepada Nabi SAW yang bersifat mukjizat di mana mendapat pahala jika dibacanya yang terangkum dari awal surah Fatihah hingga akhir surah al-Nas.

Cara Pelupusan al-Quran yang Telah Rosak

Sebelum saya melebarkan jawapan ini, marilah sama-sama kita menginsafi apa yang berlaku berkenaan dengan banjir atau bah besar yang melanda di beberapa tempat di negara kita. Walaupun begitu, sifat sabar, redha dan menghulurkan bantuan sama ada wang ringgit, harta benda bahkan tenaga bertali arus oleh semua pihak adalah amat terpuji, bahkan usaha seperti ini sewajarnya dipupuk dengan lebih baik lagi.

Dalam menjawab isu inil kami mulakan dengan firman Allah SWT :

إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.”[14]

Para ulama’ telah khilaf (berbeza pendapat) tentang bagaimana cara melupuskan al-Quran kepada dua pendapat.

Pendapat PertamaMazhab Hanafi dan Hanbali berpendapat hendaklah digali tanah dan ditanam di  dalamnya.

  • Hal ini sepertimana dinyatakan oleh ulama’ Hanafi antaranya al-Haskafi yang menyebut: “Mushaf apabila berada pada keadaan yang mana kita tidak mampu membacanya lagi hendaklah ditanam sebagaimana keadaan orang Islam yang mati.[15] Sahib al-Hasyiah memberi komentar dengan berkata: “Diletakkan perca kain yang bersih yang diletakkan di dalamnya (al-Qur’an yang rosak) kemudian ditanam di tempat yang tidak dihina dan dipijak.”
  •  Al-Buhuti, seorang ulama’ dalam mazhab Hanbali berkata: “Jika sekiranya mushaf telah basah atau lupus, hendaklah ditanamnya secara nas. Imam Ahmad menyebut bahawa mushaf Abu al-Jawza’ telah basah, lantas digali lubang pada masjidnya dan ditanamnya.”[16]
  • Syeikh Muhammad bin Ibrahim Al al-Syeikh (mantan Mufti Besar Arab Saudi) berpendapat, cara yang paling sahih ketika luput sebahagian kertas mushaf ialah dengan menanamnya di masjidJika tidak boleh maka ditanamnya di tempat yang bersih lagi suci dan harus juga membakarnya.[17]

Pendapat KeduaMazhab Maliki dan Syafi’i berpendapat, hendaklah dibakar.

  • Hujah bagi pendapat yang kedua ini adalah berdasarkan tindakan Saidina Uthman yang memerintahkan untuk membakar mushaf yang lain yang berbeza dengan mushaf yang ditulis, dan perbuatan tersebut telah disaksikan oleh ramai Sahabat. Kisah ini telah diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dalam Sahihnya no. 4988. Mus’ab bin Sa’d berkata : “Aku mendapati ramai orang yang mana menyaksikan peristiwa arahan Saidina Uthman supaya mushaf-mushaf yang lain dibakar. Perbuatan tersebut menjadi kehairanan bagi mereka tetapi tidak seorang pun dari kalangan mereka mengingkarinya.” Diriwayatkan oleh Abu Bakr bin Abi Daud dalam bukunya Kitab al-Masahif halaman 41.
  • Ibn Battal berkata: Perintah Saidina Uthman supaya membakar semua mashaf ketika dihimpunkan al-Quran menandakan keharusan membakar kitab-kitab yang terpada padanya Asma’ullah (nama-nama Allah). Yang demikian, sebagai kemuliaan baginya dan pemeliharaan daripada dipijak dengan kaki serta dicampakkannya pada mana-mana tempat.”[18]
  • Imam al-Suyuti berkata: “Apabila perlu kepada melupuskan sebagian kertas mushaf dengan sebab basah atau rosak, maka tidak harus diletakkannya pada mana-mana tempat sekalipun tinggi kerana boleh jadi akan jatuh dan dipijak. Begitu juga tidak harus mengoyaknya kerana memisahkan huruf-huruf dan kalam tersebut. Justeru, kalau dibakarnya dengan api, maka tidak mengapa. Ini kerana perbuatan Saidina Uthman yang membakar semua mushaf dan tiada seorangpun yang mengingkarinya.”[19]

 Tarjih

Selepas meneliti dua pandangan di atas samada menanamnya atau membakarnya, saya melihat bahawa adalah diharuskan kedua-duanya kerana ia bermatlamat untuk memuliakan al-Qur’an atau mushaf.

Walaupun begitu, saya lebih cenderung kepada hujahan mazhab Syafi’i dan Maliki yang memilih dengan cara membakar. Perbuatan sahabat seperti Saidna Uthman yang merupakan ijtihad daripadanya dan juga selepas itu tidak diingkari oleh mana-mana sahabat menjadi hujah yang kuat kepada perbuatan tersebut untuk mengharuskan pembakarannya. Ini kerana ianya memang rosak disebabkan banjir dan alangkah baiknya selepas itu, debu yang berbaki, ditanam kerana mengambil pendapat yang pertama dari mazhab Hanafi dan juga Hanbali.

Alhamdulillah, mutakhir ini telah wujud alat yang moden dalam menghancurkan kertas sehingga menjadi seperti debu atau serpihan halus dan tidak kekal lagi walaupun kalimah dan huruf secara zahir. Kemudian ianya dibakar pula dan kemudian ditanam, maka sudah tentu lebih selamat dalam memuliakan al-Qur’an daripada dihina atau dipijak.

Begitu juga terpakai dalam isu ini berkenaan dengan nama-nama Allah, kitab-kitab hadith atau kitab-kitab agama yang mengandungi nama Allah yang hendaklah kita muliakan di mana cara pelupusannya dibuat sebagaimana dilupuskan mushaf seperti di atas.

Semoga jawapan ini menyelesaikan isu dan kemelut berkenaan dengan pelupusan mushaf yang rosak atau yang tidak mungkin dapat dibaca lagi dengan sebab ditenggelami air dalam tempoh masa yang tertentu. Wallahua’lam.

Sumber : Maktabah Al-Bakri

Related Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published.

© 2023 Onviral - Theme by WPEnjoy · Powered by WordPress