Bukan calang-calang, walaupun berumur tapi masih berbisa!
Ungkapan yang sesuai untuk menghuraikan cerita seorang datuk yang sudah menjejak usia 77 tahun, Che Ahmad Shaari yang telah dipanggil oleh cucu sendiri untuk menjadi model secara suka-suka melalui satu sesi photoshoot di halaman rumahnya.
Muhamad Nadzarul Hafiz Mohamad Jasmizan, 19, cucu kepada Che Ahmad memberitahu yang dia pada mulanya secara spontan dan suka-suka sahaja mengajak datuknya untuk menjalani sesi photoshoot tetapi tidak sama sekali menyangka hasil gambar dan video yang dimuat naik menerima banyak pujian serta kata-kata semangat daripada para netizen.
“Kami buat photoshoot depan rumah saja pada Jumaat lepas. Kebetulan rumah saya sebelah rumah atuk. Sebelum ni saya ada tengok orang lain buat photoshoot dengan atuk mereka, jadi saya pun nak cuba.
Nadzarul memberitahu yang dia meminjam pakaian bundle dari kawan-kawannya dan kemudian mengajak datuknya itu untuk mengambil gambar. Proses rakaman foto tersebut mengambil masa dalam satu hingga dua jam.
“Atuk pun OK, jadi saya teruskan seperti yang dirancang,” ujar Nadzarul sambal mengakui yang proses merakam foto Bersama Che Ahmad bukan sesenang seperti hasil yang dilihat didalam video.
@nadzarulhfiz
“Kalau macam orang muda, mereka dah tahu bagaimana nak pose. Macam atuk pula, dia dengan gaya dirinya saja. Jadi saya kena ubah sikit, itu yang agak susah.
Nadzarul yang menetap di Jitra Kedah itu memberitahu lagi yang datuknya itu tidak sama sekali menyangka dan mengetahui yang dia perlu memakai pakaian yang sudah disediakan. Kiranya ini sudah seperti sesi rakaman foto untuk model pakaian.
“Lepas saya bagi baju, dia macam terkejut,” ujar Nadzarul berseloroh dan pada masa yang sama menyatakan perasaan terkejut apabila video sesi photoshoot yang dikongsi kedalam TikTok telah meraih lebih daripada setengah juta tontonan dalam sehari.
Nadzarul berasa amat terharu dengan komen-komen para netizen yang kebanyakannya memberikan sokongan, pujian serta ucapan berbentuk positif terhadap hasil fotografi tersebut.
“Saya ada maklumkan pada atuk yang dia dah viral, atuk terkejut dan macam tak percaya. Dia kata, tak kan la sampai tahap macam tu?
“Saya sendiri pun terkejut. Saya sebenarnya hanya berkongsi video secara suka-suka saja. InsyaAllah akan ada siri kedua, sesi photoshoot seterusnya dengan atuk sebab ramai yang minta nak tengok lagi,” ujarnya memandangkan ada dikalangan netizen yang meminta video yang memaparkan aksi datuknya itu lagi di media sosial.
Nadzarul merupakan anak pertama daripada dua beradik dan sekarang menuntut dalam bidang Video dan Filem di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Perlis. Sejak sebulan yang lalu, Nadzarul mula berjinak-jinak untuk mencari pendapatan sampingan dengan menawarkan khidmat fotografi dan videografi.
Video photoshoot datuk kepada Nadzarul tersebut sehingga kini telah meraih 718, 000 tontonan di akaun media sosial TikTok. Ada juga kebanyakan daripada netizen turut bergurau, berjenaka dan mengakui berasa agak cemburu dengan gaya dan aksi bersahaja warga emas tersebut.
“Atok jom lepak minum boba”.
“Atuk lagi stailo dari saya,” komen seorang netizen
“Old but gold”