(Kisah Inspirasi) Gaji RM6,000 petik buah, Mohd Saufi kongsi tips jika mahu kerja di Australia
Demi menjana pendapatan lumayan, segelintir rakyat Malaysia memilih untuk bekerja sebagai buruh ladang buah-buahan serta sayur-sayuran di Australia walaupun terpaksa membanting tulang empat kerat di negara orang.
Pendapatan yang diperoleh oleh mereka yang memilih untuk berkelana di negara orang untuk bekerja sebagai pemetik buah epal, strawberi, tomato ataupun tembikai adalah dalam lingkungan AUD$1,500 hingga AUD$1,800 (RM5,000 hingga RM6,000) sebulan dimana jumlah ini dianggap suatu nilai yang besar.
Hasil titik peluh mereka itu bukan datang dengan mudah dan sekelip mata kerana mereka perlu memerah tenaga serta keringat dengan memetik tanaman dengan berjalan kaki dalam kawasan ladang yang mencecah keluasan 10 hingga 12 hektar.
Seorang pemetik buah dari Malaysia, Mohd Saufi Ishak, 45, tertarik untuk bekerja sebagai pemetik buah di Perth, Australia, selepas berhubung dengan rakan lama ketika bekerja sebagai kru produksi yang memberitahu dia sedang bekerja di ladang strawberi di Australia.
Saufi mula memetik buah di Australia sejak tahun lalu dimana setelah diberitahu oleh rakannya itu, dia kemudiannya menemui ejen yang menguruskan pengambilan pekerja ladang di sana dengan bayaran RM4,000 untuk segala urusan pekerjaan termasuk penempatan kediaman sebelum bertolak ke Australia pada Oktober tahun lalu.
“Tawaran gaji yang amat menarik membuatkan saya nekad bekerja ladang di Australia. Saya kebetulan tidak mempunyai pekerjaan ketika itu jadi saya berfikir yang kalau saya dapat hantar wang sebanyak RM3,000 hingga RM4,000 sebulan kepada keluarga di Malaysia pun sudah lebih dari memadai.
“Selain itu, di sini (Malaysia) keadaan ekonomi agak perlahan dan tawaran kerja pula terhad. Jadi, tidak salah kalau saya mengambil peluang ini untuk menambah pendapatan keluarga,” kata Saufi.
Saufi menjelaskan yang dia bekerja di tiga buah ladang milik warga Australia yang berketurunan Vietnam iaitu di Ladang Waneroo, Gingin dan Karabooda sekitar Perth dan ketika dia mula sampai di Perth, dia telah ditempatkan dalam sebuah rumah teres bersama lapan lagi pekerja Malaysia. Pada masa itu, kesemua mereka perlu membayar sewa AUD$70 (RM215) secara mingguan.
“Saya juga perlu membayar kira-kira AUD$7 (RM20) untuk tambang pengangkutan ke ladang yang mengambil masa setengah jam perjalanan dari rumah sewa,” jelas Saufi lagi.
Saufi menambah yang setiap hari dia perlu bangun seawal jam 4 pagi setiap hari sebelum bersiap-siap untuk ke ladang kerana waktu kerja akan bermula jam 5.30 pagi hingga 4 petang.
“Tugas saya ketika mula-mula tiba di sini ialah memetik buah strawberi, dengan bayaran AUD$13 (RM40) bagi setiap jam. Namun saya hanya sempat memetiknya selama sebulan kerana musim bermula Jun hingga Oktober,” katanya lagi sambil memberitahu yang selepas habis musim strawberi, dia akan memetik tomato dan tembikai dengan dibayar AUD$6 (RM18) bagi setiap bakul dikutip serta kebiasaannya mampu membuat kutipan antara 16 hingga 20 bakul sehari
Untuk mendapatkan pembayaran dan gaji yang besar dan lumayan bergantung kepada kerajinan seseorang memandangkan kawasan ladang tersebut amat luas sememangnya menjadi antara cabaran utama dalam memetik buah kerana dia perlu berjalan kaki antara 10 hingga 12 kilometer sehari.
“Mula-mula datang sini timbul juga rasa sesal kerana perlu bersusah payah, tapi bila sudah mula serasi dengan kerja ini, baru timbul perasaan sangat-sangat menghargai apa yang dilakukan. Ini kerana wang yang diterima setiap minggu itu adalah hasil titik peluh kita,” ujarnyayang bekerja enam hari seminggu.
Saufi juga memberitahu, terdapat lebih 100 orang rakyat Malaysia sedang bekerja di puluhan ladang buah-buahan dan sayuran sekitar Perth. Selain rakyat Malaysia, ada juga pekerja dari negara-negara Asean yang lain.
“Ada rakan sanggup bergolok bergadai termasuk jual motosikal dan kereta untuk sediakan wang sebagai bayaran kepada ejen semata-mata kerana mahu datang bekerja di sini,” kata Saufi yang juga menjelaskan yang adajuga rakan sekerja yang ditipu oleh ejen kononnya ditawar kerja memetik epal dan strawberi yang sudah membayar sejumlah wang kepada tetapi bila sampai ke Australia, tidak ada kerja, malah ada yang bekerja tapi tidak dibayar gaji.
“Bagi mereka yang mungkin mahu bekerja di Australia, saya nasihatkan pilihlah ejen yang mempunyai rekod baik dan boleh dipercayai bagi mengelak dit1pu kemudian hari. Janganlah mudah terpedaya dengan tawaran gaji lumayan oleh ejen yang hanya mahu mengambil kesempatan,” kata Saufi mengakhiri perbualan.
Comments are closed.