Musim pandemik Covid19 ini memang musim yang sangat mencabar bagi kita. Ada yang hilang orang tersayang dan tak lepas juga ada yang hilang mata pencarian disebabkan ekonomi syarikat terjejas. Seperti topik dalam artikel kali ini, kita yang melihat nampak macam mudah tetapi sebenarnya bukan senang untuk menjadi penghibur jalanan sekaligus menghiburkan kanak-kanak ketika pandemik Covid-19 yang mana seperti yang kita sudah maklum tidak ramai orang keluar bersiar-siar berbanding hari-hari sebelum pandemik.
Cuaca panas yang melanda negara sekarang mungkin menyukarkan pekerjaan ini dilakukan apatah lagi tugas maskot penghibur jalanan ini memerlukan seseorang untuk mengenakan kostum yang mungkin agak tebal dan berada agak lama di bawah pancaran matahari untuk mencari rezeki.
Satu perkongsian video tiktok milik @arifflubis menunjukkan seorang penghibur jalanan berpakaian maskot beruang hanya duduk memikirkan nasib di tepi pantai Klebang, Melaka.
Pemuda yang bekerja sebagai penghibur jalanan yang bernama Mohamad Ruzaini Mohd Rezal itu berkata bahawa dia sebenarnya sudah mula mencari pendapatan sampingan dengan memakai maskot beruang ini selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 tahun lalu berakhir.
@arifflubis jom tegur bro ni#fyp #photography #superbapak
Muhamad Ruzaini yang lebih mesra dipanggil Zack juga memberitahu yang pendapatannya sebagai penghibur jalanan agak terjejas akibat PKP 2.0 yang dijalankan di Melaka awal tahun ini dimana bilangan pengunjung di Pantai Klebang masih lagi kurang walaupun negeri bersejarah itu sudahpun bertukar status kepada Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sejak 4 Mac 2021.
“Pendapatan menjadi ‘maskot beruang’ ni masih lagi terjejas mungkin juga disebabkan oleh cuaca yang agak panas selain kebimbangan orang ramai untuk berada di tempat awam yang menjadi tumpuan ramai berikutan penularan wabak Covid19 ini.
“Upah saya untuk menghiburkan orang adalah termasuk sesi bergambar dan tugas ini tiada bayaran tetap. Pembayaran adalah mengikut keikhlasan hati nak bayar berapa. Purata pula boleh dapat dalam lingkungan RM50 sehari tapi bila kurang kunjungan, dapat RM5 pun saya dah bersyukur,” jelas Zack.
Zack menambah yang dia sebenarnya mempunyai perwatakan seorang yang pemalu, agak pendiam serta kurang bercakap.
“Saya memakai kostum beruang ini sebagai cubaan untuk saya menghilangkan rasa malu dan muncul lebih berani berhadapan dengan ramai orang termasuklah menghiburkan mereka.
“Bila mereka rasa terhibur maka secara tidak langsung saya turut terhibur dan ini membuatkan saya merasa lebih yakin,” beritahu Zack yang berasal dari Paya Rumput, Melaka.
Walaupun tugas Zack sebagai penghibur jalanan ini nampak sahaja mudah, tetapi untuk menyarung dan memakai kostum beruang itu sudah pasti amat mencabar dan menguji ketahanan mental dan fizikal dirinya.
“Nak buat orang yang tidak dikenali terhibur dengan kita bukannya mudah. Cuaca panas dan hujan juga ujian, kalau tak berpeluh, ada kalanya basah.
“Pernah satu hari hujan lebat. Saya tak sempat cari tempat berteduh, habis basah kostum saya. Kepala beruang tu ambil masa untuk kering, menyebabkan esoknya saya tak dapat keluar cari duit dengan kostum tu,” jelas Zack akan salah satu kesukaran semasa bekerja menjadi maskot.
Pada masa yang sama, Zack mempunyai pekerjaan tetap dengan membuat pembaikan penyaman udara kenderaan bermula dari pagi hingga petang, sejak tahun lepas.
“Sekarang ni kami tinggal menyewa, jadi saya mahu cari duit lebih untuk simpanan bagi membolehkan saya membeli rumah sendiri nanti,” kata Zack mengakhiri perbualan.