Imbasan Kes Pedofilia, Menyelidiki Pembunuhan Kejam Nurin Jazlin

Tragedi  pembunuhan kejam seorang kanak-kanak, Nurin Jazlin Jazimin, 8, bermula selepas dia dilaporkan hilang ketika keluar ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju. Pelbagai usaha telah dilakukan melalui media dan orang ramai termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi mengesan murid tahun dua Sekolah Kebangsaan (SK) Desa Setapak, Setapak, Kuala Lumpur itu.

Pada pagi 17 September 2007, sebuah beg sukan yang ditinggalkan di hadapan sebuah rumah kedai di PJS 1/48, Petaling Jaya ditemui oleh pemilik kedai. Beg tersebut mengandungi badan kanak-kanak tanpa seurat benang dan dibiarkan dalam keadaan bogel.

Dalam Gambar dibulatkan adalah Nurin Jazlin

Mayat kanak-kanak yang tidak dikenali itu telah disumbat ke dalam beg berkenaan dan pihak polis percaya bahawa kanak-kanak itu telah mati lebih daripada enam jam sebelum penemuan. Apa yang lebih menyayat hati, timun dan terung ditemui disumbat dalam kemaluan kanak-kanak itu dimana ia menyebabkan rektumnya pecah.

Hasil bedah siasat menunjukkan jangkitan bakteria mnejadi penyumbang kematian mangsa. Pada masa kejadian, ibu bapa Nurin Jazlin tidak dapat mengenal pasti mayat itu sebagai Nurin Jazlin kerana perubahan dalam ciri-ciri fizikal kanak-kanak terbabit.

Pada mulanya mayat kanak-kanak itu dianggap warga asing kerana tidak mempunyai parut suntikan Bacillus Calmette–Guerin (BCG). Akhirnya, hasil daripada ujian asid deoksiribonukleik (DNA) mengesahkan mayat itu merupakan Nurin Jazlin.

Jenazah kanak-kanak itu kemudian dituntut oleh keluarganya dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Ibukota, Setapak, Kuala Lumpur pada 21 September selepas solat Jumaat.

Untuk pengetahuan, Nurin Jazlin merupakan anak kedua pasangan Jazimin Abdul Jalil dan Norazian Bistaman daripada tiga adik beradik ketika itu.

Musa Hassan Berkongsi pengalaman Kes

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan memberitahu yang biarpun kes itu telah berlaku lebih 14 tahun namun masih segar di dalam ingatannya tentang kisah tragis kanak-kanak malang itu dibunuh. Menurut Musa, kes Nurin Jazlin merupakan kes pertama melibatkan kejadian pembunuhan kejam ketika beliau menjawat jawatan Ketua Polis Negara.

Tan Sri Musa Hassan

Musa berkata, pihak polis ketika itu telah berusaha sedaya upaya untuk mengesan pembunuh yang terlibat melalui hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kejiranan setempat di lokasi tempat tinggal kanak-kanak itu namun mereka tidak mendapat gambaran yang jelas kerana rakaman itu agak kabur.

Musa berkata yang CCTV berkenaan bukannya dipasang oleh pihaknya di kawasan perumahan itu tetapi ianya hanyalah CCTV milik individu.

“Sebenarnya kita sukar kesan nombor pendaftaran motosikal digunakan si pelaku dan tidak dapat cam wajahnya kerana rakaman tidak jelas.

“Walaupun ia menyukarkan kita menjalankan siasatan ketika itu namun kita ambil pendekatan hantar sampel rakaman CCTV ke Amerika Syarikat untuk dianalisis,” katanya ketika ditemui di pejabatnya yang kini bertugas sebagai Pengerusi Syarikat Sekuriti Viper Force Sdn Bhd di Kelana Jaya.

Pelaku pedofilia

Musa memberitahu yang walaupun pihaknya telah berjaya menahan antara tiga hingga empat orang yang disyaki terlibat dalam kes itu namun pengesanan suspek utama sukar dibuat ekoran gambar pelaku tidak dirakam dengan jelas dan sehingga kini masih lagi bebas.

“Kita jalankan siasatan secara menyuluruh dengan menemubual keluarga dan siasat latar belakang keluarga Nurin Jazlin serta orang di sekeliling kanak-kanak itu.

“Apa yang kita peroleh daripada hasil siasatan dijalankan terhadap kes ini, motif kematian mangsa adalah disebabkan pelaku merupakan seorang pedofilia (suka kepada kanak-kanak) dan memenuhi hajatnya melampiaskan nafsu terhadap kanak-kanak itu,” jelas beliau.

Kes Pembunuhan Nurin Jazlin yang mendapat liputan luas berkaitan kes pedofilia di Malaysia.

Musa menjelaskan lagi yang oleh kerana si pelaku tidak mahu perkara terbabit diketahui maka dia dipercayai mengambil keputusan menyumbat mayat kanak-kanak itu di dalam beg dan membuang mayat itu di kawasan lain.

“Kita juga turut jalankan pemeriksaan di kawasan tempat tinggal Nurin Jazlin dan sewaktu pemeriksaan dibuat, pihak polis tidak mengesan bahawa ada golongan pedofilia di kawasan itu dan syak ia dilakukan bukan penghuni di kawasan itu namun oleh orang luar,” katanya.

Berbagai Perasaan Timbul – Sedih dan marah

Ketika menceritakan detik penemuan mayat kanak-kanak malang itu, Musa memberitahu bahawa dia berasa begitu sedih dengan keadaan mayat kanak-kanak itu yang bukan sahaja dibunuh, diseksa dengan perbuatan seksual malah mayatnya disumbat dalam beg. Ia merupakan satu perbuatan yang sangat menjijikkan.

“Saya jadi geram dan marah. Apalah dosa kanak-kanak itu diperlakukan sedemikian. Kanak-kanak itu tidak berdosa, malah dia tidak mengerti apa-apa.

“Maka selepas kejadian itu, saya turut ambil inisiatif wujudkan talian NUR supaya jika ada kes seumpama ini maka ia dapat dikesan segera dan pelaku dapat dibawa ke muka pengadilan dan dihukum sewajarnya,” jelas beliau lagi.

Untuk bagi kes ini Musa telah menubuhkan satu jawatankuasa khas dengan pihak swasta.

“Peristiwa Nurin Jazlin dibunuh kejam adalah kes pertama melibatkan kematian kanak-kanak secara tragis dan seterusnya kes melibatkan Sharlinie Mohd Nashar berusia 5 tahun, yang hilang semasa bermain di taman permainan berhampiran rumahnya.

“Bagaimanapun, Sharlinie masih tidak ditemui sehingga kini menjadi kes kedua di bawah kendalian saya ketika bertugas sebagai Ketua Polis Negara,” katanya.

Musa berkata lagi yang si pelaku sememangnya mempunyai pemikiran songsang malah suka kepada perkara di luar pemikiran manusia biasa.

Menjaga Tepi Kain Orang Kadangkala Perlu

Musa mengingatkan masyarakat yang sikap ‘menjaga jaga tepi kain orang’ kadangkalanya perlu dalam usaha menangani kejadian jenayah seumpamanya.

Ini kerana walaupun kes melibatkan kematian kanak-kanak atau kanak-kanak dirogol dan diperlakukan secara melampau oleh golongan pedofilia tidak banyak, namun ibu bapa dan masyarakat perlu memainkan peranan penting menyalurkan maklumat jika ternampak kegiatan mencurigakan atau orang tidak dikenali di kawasan setempat.

“Kita bukan mahu salahkan sesiapa di sini, namun pihak yang mengambil kesempatan juga sudah menunggu peluang mereka untuk melakukan perkara itu.

“Ibu bapa seharusnya mengajar anak-anak mereka supaya tidak mudah mengikuti orang yang tidak dikenali. Kejadian itu mungkin berpunca daripada kurangnya pengawasan,” katanya lagi.

Kes Yang Sangat Mencabar

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed memberitahu bahawa ketika kes itu berlaku beliau baru sahaja mengambil alih tugas sebagai Ketua Polis Daerah Petaling Jaya pada tahun 2007.

“Bagi saya kes itu cukup mencabar kerana ketika itu saya baru menjadi ketua di tempat baru dan apatah lagi kes berkenaan turut mendapat tumpuan orang ramai dan media.

Datuk Arjunaidi Mohamed

“Siang dan malam saya sentiasa mengambil tahu perkembangan kes dan siasatan biarpun mayat arwah sudah ditemui,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Arjunaidi menjelaskan yang kes berkenaan tidak pernah ditutup sehingga sekarang selagi tiada sebarang tangkapan dibuat ke atas suspek utama.

“Kita masih berusaha kerana pelakunya belum dihadapkan ke muka pengadilan,” jelasnya.

Tambahnya, sebarang kes jenayah terutamanya kes seumpama ini tidak akan ditutup sehinggalah ia selesai sepenuhnya.

Luka Yang Tidak Pernah Sembuh, Keluarga Cari Keadilan

Sekiranya sudah ditakdirkan yang pembunuhan kejam Nurin Jazlin, 8, tidak dapat dirungkai dan diselesaikan sehingga lebih dua dekad namun ia tidak akan mengubah pendirian Jazimin Abdul Jalil, 46  iaitu bapa kepada kanak-kanak malang itu untuk mencari keadilan.

Selepas lebih 14 tahun berlalu, Jazimin merasakan kes itu seperti kian dilupakan. Akan tetapi dia mendapat harapan baharu apabila seorang pemimpin negara sedia untuk berkongsi maklumat terkini dan berhubung dengan pihak berkuasa.

Bapa kepada lima anak (termasuk arwah) itu bagaimanapun dihimpit perasaan terkilan serta kecewa kerana sehingga kini perkhabaran baru mengenai kes itu masih belum diumumkan.

“Sehari demi sehari, saya tunggu dengan harapan ada maklumat terkini atau setidaknya perkembangan mengenai siasatan arwah Nurin Jazlin.

Jazimin, ayah kepada mangsa yang masih lagi berharap agar kes yang melibatkan pembunuhan kejam anaknya dapat dirungkai selepas lebih 14 tahun

“Melihat kepada situasi politik kini, ditambah dengan isu koronavirus (Covid-19), saya buntu untuk mendapatkan informasi mengenai perjalanan siasatan anak saya,” katanya yang percaya kejadian yang menimpa anaknya tidak akan dilupakan serta kekal dalam ingatan seluruh penduduk Malaysia.

Sudah pasti bukan ahli keluarga sahaja yang terkesan dan merasa kehilangan. Pemergian Nurin Jazlin yang cukup tragis memberi kesan kepada semua pihak.

Jazimin yang bekerja sebagai pengawal peribadi itu merasa terharu dengan sokongan keluarga dan orang ramai kerana masih ada yang bertanya mengenai perkembangan terkini tentang siasatan arwah Nurin Jazlin. Dia memahami tugas pihak berkuasa yang sentiasa berusaha untuk mencari dalang di sebalik kejadian itu.

Jazimin berkata lagi yang dia bukan bermaksud mahu menekan pihak berkuasa, tetapi dia pada masa yang sama tidak mampu untuk membendung perasaan untuk mengetahui lanjutan kes berkenaan.

“Berbekalkan kemajuan teknologi yang lebih canggih ketika ini, saya harap apa sahaja bukti diperoleh ketika tahun 2007 lalu dapat diuji semula.

“Saya juga teruja dengan kemajuan mesin pengesanan cap jari, ujian DNA dan CCTV yang semakin canggih, mungkin boleh diaplikasikan dalam kes ini termasuk pada bukti yang ada pada beg yang digunakan untuk meletakkan mayat anak saya,” katanya.

Harapan Jazimin turut dipanjangkan kepada kerajaan baharu di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya jenayah keganasan terhadap arwah Nurin Jazlin dapat dirungkai dan diselesaikan seterusnya mengheret pelaku ke muka pengadilan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *