Ketentuan Memang Tak Disangka. Niat Asal Mat Dan Hanya Melancong & Kembali Ke UK.

Pada mulanya ketika Mat Dan meninggalkan UK untuk melancong, dia fikir akan balik semula. Tetapi secara tak Sengaja dia telah menemukan kemasyhuran, kerjaya Dan kehidupan Baru  yang berlokasi sejauh 6,000 batu dari rumahnya. Begitulah perjalanan hidup, kita memang tidak akan menyangka akan hala tuju dan destinasi masa depan kita.

Sememangnya perkara ini bukanlah sesuatu yang luar biasa bagi orang kita untuk menetap atau berhijrah ke negara barat lagi-lagi jika mahu menetap di sana, namun yang pasti agak ‘pelik’ bunyinya apabila individu dari negara luar, terutama dari negara barat, memilih untuk menetap di Malaysia.

Mat Dan, atau Mohammad Kareef Daniel Abdullah bukanlah satu nama yang asing di halwa telinga kita. Dia merupakan salah seorang selebriti terkenal di Malaysia gara-gara kefasihannya bertutur dalam dialek Terengganu yang menjadi titik tolak dia dikenali ramai.

Kisah Mat Dan yang tiba-tiba menjadi popular di Malaysia telah mendapat perhatian BBC Radio yang terpanggil untuk menemuramahnya bagi mengetahui kisahnya sepanjang lebih sedekad di Malaysia.

Dalam sesi temuramah yang berdurasi hampir 20 minit, Mat Dan telah berkongsi kisah hidupnya serta menceritakan bagaimana Malaysia telah mengubah dirinya menjadi insan yang lebih baik berbanding sebelum ini.

“Saya tidak tahu pun Malaysia di mana, saya dan kawan-kawan berada di Thailand ketika itu dan tidak merancang langsung untuk singgah ke Malaysia.

“Terlalu banyak perbezaan hidup saya sebelum ini dan sekarang. Memang dahulu saya muda, tidak banyak fikir tentang kehidupan apalagi masa depan.

“Saya masih orang yang sama, tetapi saya tinggalkan apa yang membuatkan saya tidak bahagia. Saya sudah berkahwin dan mempunyai dua anak, itu sahaja perubahan paling besar dan positif dalam hidup saya.

“Jujur, saya tidak tahu apa akan jadi kalau saya tidak ‘menemui’ Malaysia dan Islam,” katanya kepada penyampai radio, Emily Webb.

Pemuda berusia 31 tahun yang berasal dari Cheltenham, England ini mengakui yang keramahan serta sikap mesra yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia menjadi faktor utama yang membuatkab dia terpaut dengan negara ini.

“Semasa sampai di Terengganu, saya duduk minum di sebuah warung, seorang lelaki membayarkan harga minuman saya. Saya tanya kenapa, katanya saya nampak seperti baru sampai dan tidak kenal sesiapa, jadi dia mahu buat saya rasa selesa.

“Saya kagum dan di situlah saya terfikir, mungkin saya boleh tinggal lama di sini,” ceritanya lagi.

Mat Dan menambah, bergelar seorang Muslim bukanlah satu perancangan namun perkenalan dengan ramai sahabat yang beragama Islam membuatkan dia mula mempunyai naluri ingin tahu sekaligus bertanyakan banyak soalan, dan menemui jawapannya dalam Islam.

Bapa kepada dua cahaya mata ini juga menganggap yang penceburannya dalam dunia hiburan dan seterusnya dikenali sebagai selebriti sebenarnya bukanlah satu pilihan, akan tetapi ia merupakan satu tuah dan rezeki.

“Saya tak suka perkataan selebriti itu. Tetapi saya terima dan akur dengan hakikat bergelar orang yang dikenali di sini.

“Memang akan ada orang persoalkan, ramai orang asing datang ke Malaysia, pekerja Bangladesh dan Myanmar, ramai yang boleh berbahasa Melayu dengan baik tetapi tidak pula jadi selebriti.

“Tetapi saya tidak datang ke sini untuk menjadi selebriti. Saya hanya seorang traveller, tetapi kemudiannya menjadi terkenal. Ia terjadi begitu sahaja dan saya akur,” ujarnya.

Mat Dan merupakan seorang hos beberapa program televisyen, antaranya Haramain Backpackers dan Mat Dan Kaki Jalan. Dia juga pernah muncul sebagai pelakon. Dia memperisterikan Nadifa Adnan pada 2017, dan telah dikurniakan dua cahaya mata yang diberi nama Zayne dan Eydan.

Related Posts

© 2023 Onviral - Theme by WPEnjoy · Powered by WordPress