Kisah Tragis & Siasatan Kes Pembunuhan Canny Ong

Kes Pembunuhan Yang Menggemparkan Malaysia

Pada tahun 2003, Malaysia pernah digemparkan dengan kes pembunuhan yang sangat tragis dan kejam seorang penganalisis teknologi maklumat, Canny Ong Li Kian. Pakar forensik negara, Amidon Anan, 70, berkata, proses sepanjang siasatan dan pencarian bukti kes tersebut adalah antara yang paling mencabar.

“Hasil pengalaman yang ditimba dalam kursus forensik di luar negara, saya guna aplikasi sains forensik untuk siasatan kes tersebut,” katanya

Bekas Ketua Unit Siasatan, Tempat Kejadian Jenayah (CSI), Makmal Forensik, Bukit Aman itu menjelaskan yang bekas pencuci kabin kapal terbang iaitu Ahmad Najib Aris yang juga suspek kepada kes tersebut mendakwa yang dia membakar Canny Ong kerana mahu menghapuskan bukti.

“Kita turut bawa Ahmad Najib kerana dia mahu melihat anaknya, dalam masa sama saya dapat mengetahui ‘cerita sebenar’ mengenai suspek daripada maklumat yang disampaikan oleh isterinya,” katanya.

Menurut Amidon, antara cabaran lain adalah beliau perlu memberikan penerangan berkaitan bukti kes pembunuhan tersebut dalam perbicaraan di mahkamah.

“Malah hakim turut meninjau lokasi mayat Canny Ong ditemui,” katanya memberi penjelasan.

Canny Ong dikatakan sedang berada bersama-sama keluarganya serta rakan-rakan yang baru sahaja menikmati makan malam di restoran di Bangsar Shopping Centre, pada malam 13 Jun 2003.

Mereka kemudian selesai meluangkan masa bersama dan beransur pulang sekitar jam 10.30 malam. Semasa mahu membayar parkir, Canny Ong tiba-tiba menyedari yang tiket parkirnya tertinggal di dalam kereta membuatkan dia bergegas mengambil tiketnya itu kembali di tingkat bawah bangunan. Ibu dan adik perempuannya pula pada ketika itu menunggunya di tingkat atas.

Setelah hampir 20 ke 30 minit Canny Ong tidak memunculkan diri, ibunya yang berada di tingkat atas mula merasa risau dan membuat keputusan menelefonnya.
Perasaan cemas kian memuncak apabila panggilan telefon tidak dijawab. Ibunya bersama dengan adik perempuannya kemudian terus bergegas ke tempat parkir kereta akan tetapi alangkah terkejutnya mereka apabila mendapati kereta Canny Ong tidak kelihatan.

Menurut laporan siasatan, Canny Ong telah dirogol di dalam keretanya di bawah jejantas yang masih dalam pembinaan berhampiran Taman Datuk Harun di Jalan Kelang Lama sekitar jam 1 ke 5 pagi (14 Jun 2003). Dia turut dibunuh dengan dua tikaman pisau dan mayat Canny Ong kemudiannya disumbat ke dalam lubang longkang yang sempit di tepi lebuh raya. Bukan itu sahaja, mayatnya juga ditindih dengan dua tayar besar berisi simen.

Penjenayah datang dan muncul semula di lokasi kejadian sehari selepas itu iaitu pada 15 Jun dengan membawa dua botol petrol dipercayai dibeli di stesen minyak di Jalan Pantai Baharu yang digunakan untuk dijirus pada mayat mangsa sebelum dibakar hingga rentung. Kejadian pembakaran mayat Canny Ong tersebut mujur disedari oleh pengurus tapak binaan lebuh raya yang kemudiannya segera melakukan laporan polis.

Lima hari selepas itu pada 20 Jun 2003, akhirnya pihak polis telah berjaya menangkap penjenayah tersebut iaitu Ahmad Najib yang membunuh Canny Ong susulan serbuan di sebuah rumah di Kampung Kerinchi, Pantai Dalam, Kuala Lumpur. Beberapa bahan bukti seperti baju dan juga seluar telah diambil oleh pihak polis untuk membantu siasatan.

Perbicaraan ke atas Ahmad Najib telah berlangsung selama 13 tahun hingga dianggap sebagai perbicaraan kes jenayah paling lama pernah berlangsung dalam landskap jenayah Malaysia.

Dengan bukti kukuh seperti asid deoksiribonukleik (DNA) dan kesan air mani, Ahmad Najib akhirnya dijatuhi hukuman gantung sampai mati di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Februari 2005.

Pada Jumaat 24 September 2016, sejurus waktu subuh, riwayat Ahmad Najib berakhir di tali gantung.

Kaedah Bercakap Dengan Mayat

Amidon yang bersara dengan pangkat Superintendan telah berjaya menyelesaikan puluhan kes pembunuhan berprofil tinggi, rompakan dan pelbagai kegiatan jenayah lain.

“Bukan mudah mendakwa penjenayah, tambahan pula tanpa bukti sahih bagi mengaitkannya.

“Jika kita mengamalkan ilmu sains forensik dalam siasatan, nescaya keputusan akan terserlah dan jitu, hingga tidak boleh dipertikaikan,” katanya.

Amidon berkata, gelagatnya yang suka bercakap dengan mayat selalu disalah erti semasa menyelesaikan kes pembunuhan.

“Saya meminta izin kepada si mati bahawa tugas saya datang itu dengan niat membela kematiannya serta berusaha mengheret si pembunuh ke mahkamah untuk diadili.

“Saya bersama pasukan forensik datang adalah mahu mengumpul bukti daripada mayat dan lokasi pembunuhan supaya ia dapat membantu pegawai penyiasat memberkas suspek,” katanya lagi.

Selama sepanjang 25 tahun bersama pasukan forensik, selain kes pembunuhan Canny Ong, Amidon juga turut menyiasat kes pembunuhan kanak-kanak Nurin Jazlin Jazimin dan juga model Altantuya Shaariibuu.

Amidon memberitahu yang beliau sebenarnya mengikut jejak langkah arwah bapanya yang bernama Anan Yeop Abdullah Sani yang juga merupakan seorang anggota polis.
“Saya memohon memasuki Polis Diraja Malaysia pada 1976 selepas berhenti bertugas bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Tamat latihan, saya dihantar ke Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields sebagai pegawai penyiasat,” katanya.

Amidon pernah menjalani kursus dengan Polis Antarabangsa (Interpol), Scotland Yards, Biro Siasatan Persekutuan (FBI) untuk mendalami pengetahuan serta kepakaran dalam bidang siasatan forensik.

“Kita juga perlu memahami teknik fotografi bagi membantu siasatan dalam sesuatu kes.

“Gambar yang diambil di lokasi kejadian atau bedah siasat perlu jelas kerana ia akan dikemukakan kepada hakim dan peguam di mahkamah ketika perbicaraan kes,” katanya.

Kemajuan Dalam Sains Forensik Banyak Membantu Siasatan

Amidon telah dilantik sebagai pensyarah sambilan di institut pengajian tinggi awam selepas meninggalkan perkhidmatan di PDRM pada 2008.

“Saya pernah mengemukakan cadangan agar mewujudkan satu jabatan lain untuk mengawal selia sampel DNA yang disimpan dalam bank data DNA demi kepentingan umum,” katanya.

Menurut Amidon, bahan bukti utama yang dijejaki oleh pakar forensik ialah DNA untuk sebarang proses siasatan jenayah terutama yang membabitkan kes bunuh.

“Keunikan DNA yang menjadi identiti biologi setiap individu yang berbeza membolehkan pihak berkuasa mengenal pasti suspek dengan mudah, sekali gus mempercepatkan penyelesaian siasatan sesuatu kes jenayah,” jelasnya.

Amidon menambah yang kemajuan sains forensik pada masa kini begitu pantas termasuk teknik dan peralatan terbaharu, berbanding sebelum ini

“Jika kita tidak ikut kaedah apa yang ada sekarang, pasti kita akan kertinggalan. Sains Forensik banyak membantu saya dalam siasatan pelbagai kes.

“Peralatan sains forensik kosnya tinggi, namun nilai siasatan adalah amat ‘berharga’ dan jitu,” katanya lagi seraya menasihati golongan muda yang mahu terlibat dalam bidang forensik perlu meletakkan jiwa dalam kerjaya tersebut.

“Belajar dalam bidang forensik tempohnya sekejap sahaja, namun untuk memahami teknik sains forensik itu mengambil masa lama.

“Mahkamah adalah tempat ‘ujian’ kepakaran kita. Saya berterima kasih kepada peguam dan pendakwa raya walaupun di mahkamah kita ‘lawan’, namun ia banyak membantu saya untuk menjadi seorang pakar forensik,” katanya mengakhiri perbualan.

Related Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published.

© 2023 Onviral - Theme by WPEnjoy · Powered by WordPress