Malaysia Airline System (MAS) tiba-tiba menjadi buah mulut semua orang kira-kira 6 tahun yang lepas. Pada tanggal 8 Mac 2014, pesawat milik MAS, MH370 hilang dari radar ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, China.
Nasib Penumpang MAS M370 Belum Diketahui
Walaupun telah 6 tahun berlalu, masih belum ada khabar berita tentang nasib yang menimpa penumpang MH370 sehingga ke hari ini. Keluarga kepada 239 penumpang Boeng 777 itu masih berharap kepastian tentang nasib yang menimpa kesemua penumpang. Penemuan beberapa bahagian kapal terbang di Lautan Hindi berhampiran barat daya perairan Afrika telah menimbulkan lebih banyak tandatanya kenapa kapal terbang tersebut menyimpang jauh dari destinasi sebenar.
Untuk mereka yang mempunyai orang yang tersayang dalam pesawat tersebut, menunggu jawapan kepada misteri 370 amat menyakitkan. Setiap kali ulangtahun kehilangan MH370, mereka tertanya-tanya apakah nasib mereka yang hilang. Walaupun pencarian secara besar-besaran telah dilakukan dengan pelbagai alat selaman canggih, teka-teki kehilangan MH370 masih belum terjawab.
Berharap Pencarian Diteruskan
Ahli keluarga penumpang MH370 masih terus berharap agar pencarian diteruskan, dan meminta Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dapat meneruskan pencarian pesawat Boeing 777-200ER tersebut. Mereka berharap kerajaan baru akan dapat menyelesaikan misteri kehilangan MH370 setlah kerajaan Barisan Nasional dan juga Pakatan Harapan gagal dalam usaha tersebut.
Bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Mahathir Mohamad, pernah menyatakan bahawa kerajaan bawah pimpinannya memang berhasarat untuk meneruskan pencarian MH370. Beliau percaya dengan teknologi pengesanan eletronik, adalah tidak mustahil menemui lokasi sebenar jatuhnya pesawat MAS tersebut.
Saat negara kita berjuang menghadapi ancaman Corovirus 2019 (COVID-19), waris penumpang pesawat MAS ini masih berjuang agar pencarian diteruskan. Jika kita berada di pihak mereka pastinya kita juga mahu terus mencari di manakah hilangnya orang yang kita sayangi. Sama-sama kita doakan agar misteri ini menemui jawapannya.
Sumber:
- Astro Awani – ‘Kami memang berhasrat untuk teruskan pencarian MH370’ – Tun M
- Astro Awani – Enam tahun berlalu, kehilangan MH370 kekal misteri”
- NST – MH370: Gone but never forgotten