Memang RARE! Dulu malu sekarang anggap diri unik, itulah gadis bertanda lahir ‘hidup’ pada wajah… warnanya berubah kalau kena air

“BUAT apa nak malu? Syukuri dan terima diri sendiri seadanya”

Begitulah bait kata-kata gadis ini berkongsi tentang kisahnya yang dikurniakan tanda lahir berwarna kemerah-merahan pada bahagian dagu dan bibirnya.

Jika diperhatikan pada perkongsian video gadis ini di aplikasi TikTok, dia sedikit pun tidak menutup bahagian wajah ‘bertanda’ berkenaan, malah terbuka dan cukup positif berkongsi mengenainya kala menjawab pertanyaan netizen.

“Betul, tanda lahir ini memang hidup. Bila ia sejuk atau selesai mandi pagi, ia akan bertukar warna menjadi gelap. Kalau mandi hujan lama-lama pun ia bertukar gelap seakan-akan warna biru. Ia takkan membesar, ia kekal macam ini,” jawabnya dengan lembut dan sopan pada video yang dikongsikan.

Gadis bernama Siti Farah Syawani Wahab mengakui dia juga tidak dapat lari daripada perasaan malu lebih-lebih lagi ketika di bangku sekolah. Akan tetapi seiring dengan peningkatan usia, dia semakin positif dan berfikiran matang malah terbuka apabila bercerita mengenai tanda unik pada wajahnya.

“Iya, dulu masa sekolah memang tak dinafikan ada perasaan malu sebab tanda lahir agak ketara pada wajah. Saya pernah jadi mangsa buli dan ejekan sampai menangis tak nak pergi sekolah.

“Mujurlah ibu bagi kata-kata semangat dan sanggup datang ke sekolah untuk bercakap mengenai apa yang saya lalui kepada guru. Selain ibu, kawan-kawan rapat juga main peranan… mereka ‘back-up’ saya bila kena ejek.

“Namun bila dah makin meningkat usia, perasaan malu hilang dan diganti dengan perasaan yakin sedikit demi sedikit. Rakan-rakan sekerja semua ok dan saya tak pernah berdepan dengan ejekan… hanya ada kadang-kadang orang bertanya.

“Saya pun tak kisah kalau orang tanya sebab mungkin mereka nak tahu juga apa yang berlaku,” ujar gadis berusia 21 tahun ini.

Gadis yang senang disapa sebagai Wani amat bersikap terbuka dan memberitahu yang tiada keperluan untuk dirinya berasa segan atau kurang sempurna berbanding insan yang lain.

“Mula-mula tu risau dan tak yakin juga… bimbang komen serta penerimaan orang. Tapi lama-lama saya dah makin okay tambahan pula saya rasa kalangan warganet terutama di TikTok lebih positif dan terbuka.

“Hampir keseluruhan komen yang diterima adalah komen positif… komen negatif tu sikit sangat. Biasanya saya biar saja… apa yang mereka katakan tidak beri kesan apa pun. Yang menentukan kesannya adalah diri kita sendiri.

“Buat apa nak segan atau malu… apa yang saya ada ini adalah takdir dan ia menjadikan saya unik,” cerita anak kedua daripada empat adik beradik yang berasal dari Hulu Terengganu itu.

Wani memberitahu lagi bahawa dia sendiri tidak pernah mempersoalkan perkara berkenaan kepada ibunya walaupun merasakan dirinya ‘berbeza’ berbanding adik-beradiknya yang lain.

“Tak pernah tanya atau asak ibu dengan pertanyaan pun pasal perkara ini. Ibu pun pernah berusaha bawa saya berubat untuk hilangkan tanda lahir ini tapi ia tetap seperti ini.

“Ketika itu saya masih sekolah rendah lagi… tapi sekarang saya memang dah terima diri seadanya. Bagi saya, apa yang saya alami ni taklah teruk mana pun,” ujarnya yang merupakan sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia sejak tiga tahun lalu.

Wani Juga berkata yang dia sekadar suka-suka memuat naik video untuk berkongsi cerita mengenai dirinya. Ini kerana dia sendiri tidak menyangka yang video yang dikingsi olehnya di laman sosial akan menjadi pilihan viral oleh orang ramai. Ini mungkin akan menjadi satu inspirasikepada orang lain.

“Bagi mereka yang ada rasa kekurangan diri, apa yang saya boleh katakan, abaikan sahaja mulut-mulut yang beri komen negatif atau hinaan. Benda ini takkan berhenti pun selagi kita melayan.

“Syukurilah apa yang sudah diberikan dan terima keunikan diri kita sendiri,” katanya lagi.

Related Posts

© 2023 Onviral - Theme by WPEnjoy · Powered by WordPress