PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula pada tahun lalu ternyata memberi impak kepada kita semua, turut terkesan kepada orang yang niaga online, apatah lagi buat pasangan yang berniaga di pasar malam.
Enggan terus berduka dengan nasib yang menimpa, Azie Fazamilla Awi, 33, dan suaminya Mohd Fakhruddin Zulkifli, 35, tampil dengan satu idea kreatif.
Pasangan ini pada asalnya berniaga air balang bertahun lamanya di pasar malam, pada tahun lalu pasangan itu mula niaga online dengan menjual tempoyak.
Rezeki ternyata menyebelahi pasangan yang berasal dari Terengganu itu, sehingga si isteri mampu menghadiahkan sebuah trak pikap Ford Ranger kepada suaminya pada Februari lalu.
Ibu kepada seorang cahaya mata yang mesra disapa Azie ini sempat berkongsi kisah perjalanan suka duka mereka selama ini.
Azie sekeluarga.
“Kami dah 12 tahun berkahwin dan memiliki seorang anak perempuan berusia 11 tahun. Dulu saya pernah kerja sebagai kerani, kemudiannya saya berniaga di pasar malam.
Saya dan suami sama-sama berniaga air balang, Kami pernah juga berniaga pakaian wanita. Disebabkan PKP kami tak boleh berniaga, dari situlah timbul idea saya untuk berniaga secara online.
“Masa PKP saya berniaga pelitup muka, cecair sanitasi makanan, ambil upah jadi runner, ambil upah jual laksa. Kemudian kami dapat idea jual tempoyak yang ada pelbagai perisa dengan sambal bilis petai secara dalam talian”, ujarnya
Menurut Azie, dari hasil perniagaan tempoyak inilah dia dapat membeli sebuah kereta Toyota Vellfire baru-baru ini sebelum menghadiahkan sebuah trak pikap Ford Ranger buat suami tercinta.
“Mula-mula kahwin, kami naik motor. Kemudian beli Perodua Kancil, ada duit sikit, kami beli Perodua Myvi.
Azie dan suaminya yang sebelum ini yang pernah berniaga air balang di pasar malam
“Ford Ranger tu memang idaman suami. Saya beli dengan duit hasil perniagaan tempoyak sejak tahun lalu. Ia juga memudahkan urusan kami untuk berniaga.
“Sebelum itu saya ada beli Vellfire untuk keselesaan keluarga dan orang tua saya” Dedahnya lagi.
Kata Azie, dia juga pernah dipandang rendah kerana berniaga pasar malam dan menaiki kenderaan biasa-biasa sahaja, suatu masa lalu.
“Masa naik Kancil dulu, saya pernah dihina. Perjalanan saya memang jauh. Pernah juga dipandang rendah kerana berniaga pasar malam.
Katanya lagi, “Saya tak pernah malu berniaga pasar malam. Ia periuk nasi saya, dan kini kami juga membuka peluang kepada netizen yang ingin menjana pendapatan sampingan, boleh sertai kami untuk berniaga tempoyak. ujarnya.
Perniagaan tempoyak keluaran pasangan itu turut dihantar ke luar negara.
Selain dijual di seluruh Malaysia, tempoyak keluaran pasangan itu turut dihantar ke Perancis, Jepun dan Itali.
“Sekarang dah masuk pasaran Singapura. Ada rakyat Malaysia yang beli dari Itali, Jepun dan Perancis. Siap ada yang ambil gambar tempoyak kami dengan salji.
“Askar-askar Malaysia yang pergi ke Lubnan pun ada beli dengan kami,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, video Azie yang menghadiahkan Ford Ranger buat suaminya turut tular.
Ia sehingga kini meraih lebih 55,000 tontonan di TikTok.