PAJSK atau nama penuhnya Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum adalah satu sistem yang diwujudkan khusus oleh Bahagian Kokurikulum dan Kesenian, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Bagi sesetengah orang, istilah PAJSK mungkin agak baru. Apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan PAJSK? Apakah komponen-kompenan yang terkandung di dalamnya?
Untuk lebih mudah faham, sistem ini lebih bertujuan menilai pembabitan pelajar sekolah rendah dan menengah dalam pelbagai aktiviti sukan dan kokurikulum lainnya.
Memudahkan guru
Fokus aplikasi PAJSK ini ialah untuk memudahkan dan membantu guru, terutama penolong kanan kokurikulum, melaksanakan kerja pentaksiran terhadap pelajar membabitkan aktiviti bukan akademik sama ada di dalam kelas atau di luar kelas.
Tidak lain tidak bukan ia lebih bertujuan melengkapkan sistem pentaksiran pendidikan negara agar lebih holistik dan bersepadu agar tidak terlalu bergantung dan bersandarkan akademik semata-mata.
Ini juga selaras dengan usaha pengembangan potensi pelajar dari sudut jasmani, emosi, rohani dan intelek.
Apa di dalam PAJSK?
Berikut ialah komponen yang terkandung di dalam PAJSK.
1. Pentaksiran SEGAK
SEGAK merujuk kepada terma ‘Standard Kecergasan Fizikal Kebangsaan’ (SEGAK) membabitkan penilaian bagi mengukur kecergasan aktiviti fizikal pelajar.
Ia menyentuh empat pergerakan fizikal utama, iaitu “naik turun bangku”, “tekan tubi”, “ringkuk tubi separa” dan “jangkauan melunjur”.
2. Pentaksiran BMI
BMI bermaksud Indeks Jisim Tubuh. Pentaksiran BMI lebih bertumpu kepada pengukuran berat badan dan ketinggian seseorang pelajar.
Ini bertujuan menentukan tahap keseimbangan lemak dalam badan pelajar. BMI dilakukan sebelum ujian SEGAK.
3. Pentaksiran Sukan dan Kokurikulum
Pentaksiran Sukan dan Kokurikulum dalam PAJSK pula lebih bertujuan menilai aktiviti sukan dan kokurikulum bersabit pembangunan modal insan dalam usaha memupuk pembangunan diri seseorang pelajar.
Aktiviti sukan membabitkan permainan dan pertandingan peringkat sekolah, zon, daerah, bahagian, negeri atau kebangsaan atau antarabangsa.
Manakala aktiviti kokurikulum pula merangkumi aktiviti pelajar dalam sukan dan permainan, kelab dan persatuan, badan beruniform dan aktiviti koakademik peringkat sekolah, zon, daerah, bahagian, negeri atau kebangsaan atau antarabangsa.
E-operasi – cara menggunakannya
Bagaimana menggunakan PAJSK?
Sistem aplikasi ini dapat digunakan dengan melayari klik sini.
Pengguna hanya perlu log masuk menggunakan info log masuk yang perlu didaftarkan terlebih dahulu.
Menerusi sistem aplikasi PAJSK ini, guru dapat memasukkan maklumat pelajar serta melakukan pelbagai perkara berkaitan, termasuklah mencetak borang PAJSK dan dokumen lain.