Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) yang diwujudkan pada 1994 diberi tanggungjawab khas oleh kerajaan menjalankan pemeriksaan mandatori terhadap semua kenderaan awam dan perdagangan.
Pusat pemeriksaan seluruh negara
Organisasi ini juga terbabit membuat pemeriksaan terhadap semua kenderaan persendirian bagi tujuan tukar hakmilik, pembiayaan sewa beli dan hal ehwal insurans.
Untuk menyempurnakan tugasan itu, anak syarikat milik penuh DRB-Hicom Berhad ini mempunyai 56 pusat pemeriksaan di seluruh negara.
Ia termasuklah 28 pusat pemeriksaan untuk perkhidmatan tambahan. Sehingga ini sudah lebih tiga juta kenderaan diperiksa di pusat itu di seluruh negara.
Permohonan Geran Kereta Baru atau Hilang
Apa unik di Puspakom?
Pertama-tama perlu diketahui bahawa semua prosedur dan piawai pemeriksaan kenderaan di Puspakom adalah menepati semua akta berkaitan.
Ini termasuklah Akta Pengangkutan Jalan 1987, Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987, Akta Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat 2012, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Akta Pelesenan Kenderaan Pelancongan 1999.
Malah, prosedur dan piawai pemeriksaan oleh Puspakom turut menepati piawai antarabangsa sebagaimana ditetapkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Puspakom sendiri adalah ahli penuh Jawatankuasa Pemeriksaan Kenderaan Motor Antarabangsa (International Motor Vehicle Inspection Committee – Cita).
Kualiti pemeriksaan di Puspakom
Satu lagi kelebihan pemeriksaan di Puspakom ialah peralatan yang digunakan menepati standard antarabangsa.
Malah, semua kemudahan dan peralatan pemeriksaan yang digunakan di pusat ini disahkan secara berkala oleh Makmal Metrologi Kebangsaan Sirim serta dipantau rapi JPJ sendiri.
Agensi-agensi berkaitan membuat pemantauan dan semakan di semua pusat pemeriksaan Puspakom seluruh negara dari semasa ke semasa. `
Tempah Tarikh Janji Temu Pemeriksaan Kereta
Apa jenis pemeriksaan di Puspakom?
Agak banyak jenis atau kategori pemeriksaan kenderaan di Puspakom. Ia lebih daripada 10 jenis.
Daripada itu, ia dapat dipecahkan kepada dua kategori, iaitu kategori pemeriksaan mandatori dan pemeriksaan sukarela.
Daripada dua kategori ini, pemeriksaan mandatori lebih penting. Kita akan perincikan kategori mandatori ini.
Pemeriksaan mandatori
Pemeriksaan mandatori bagi setiap kenderaan adalah berdasarkan keperluan akta tertentu dan agensi berkaitan.
Antaranya ialah akta yang di bawah JPJ, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan sektor insurans.
Pemeriksaan mandatori ini termasuklah pemeriksaan awalan, berkala, khas, tukar hakmilik, kenderaan kerajaan, penilaian, lelong, kenderaan import, sewa-beli (hire-purchase) dan urusan insurans.
Pemeriksaan mandatori menjadi syarat perlu sebelum sesebuah kenderaan dibenarkan bergerak di atas jalan.
Antara pemeriksaan mandatori popular ialah membabitkan kenderaan perdagangan seperti teksi, bas dan lori.
Semua kenderaan ini biasanya perlu menjalani pemeriksaan setiap enam bulan sekali.