Perwatakan yang tegas dan ‘garang’ seorang guru yang ketika dirakam tengah berada di dalam kelas melayan murid-muridnya telah menjadi perhatian gara-gara video yang telah dimuat naik olehnya sekelip mata menjadi tular, sehinggakan para netizen yang menonton berasa terhibur.
Video yang memakan masa 30 saat itu menunjukkan aksi guru berkenaan sedang mengagihkan makanan kepada murid-murid di bawah jagaannya sambil menyebut dan memanggil nama murid-muridnya seorang demi seorang.
“Yang lain duduk dulu,…. jangan makan dulu!” kata guru berkenaan dengan nada suara yang agak tegas tetapi melucukan dan perubahan pada wajahnya yang garang ketika mengungkapkan tetapi amat mencuit hati hingga ada antara netizen menonton video tersebut berulang-ulang kali.
View this post on Instagram
Video tersebut meraih 17 juta tontonan dan lebih 1.4 juta ‘like’ hanya dalam tempoh beberapa hari sahaja.
Disebabkan oleh perkongsian dan penularan video tersebut, ada yang membuat video parodi dengan menggunakan audio suara guru tersebut termasuklah pelakon Diana Danielle.
Guru tersebut Herdiana Abdul Hamid yang merupakan seorang guru bahasa inggeris berkata bahawa dia sama sekali tidak menyangka video yang telah dirakam olehnya di dalam kelas itu tiba-tiba mendapat sambutan yang tidak disangka-sangka.
Guru yang berusia 33 itu juga turut menjelaskan bahawa video tersebut sebenarnya dirakam olehnya semasa waktu rehat, bukannya ketika sesi pengajaran dan pembelajaran.
“Waktu rehat pun kami amalkan SOP (prosedur operasi standard) di mana pihak kantin akan menghantar makanan yang dipesan oleh murid-murid ke kelas lebih awal.
“Tapi bukan semua murid membuat pesanan kerana ada juga sebahagian daripada murid-muridnya yang membawa sendiri bekal makanan dari rumah. Sebagai guru kelas, sayalah yang bertanggungjawab menguruskan pengagihan makanan kepada murid-murid saya.
“Saya akan pastikan semua murid mengikut SOP yang telah ditetapkan iaitu sebelum makan mesti mencuci tangan, membaca doa dan kemudian barulah semuanya bersama-sama makan di dalam kelas. Saya tukar suara ala Doraemon ‘akil baligh’ tu sebab nak minta murid yang dah ada makanan dulu supaya tunggu rakan-rakan yang lain,” katanya kepada mStar.
Herdiana yang juga dikenali dengan panggilan Teacher Dian oleh murid-muridnya juga memberitahu yangdia sememangnya garang, bukan sahaja di sekolah malah di rumah.
“Saya bukan garang yang buat murid-murid takut, tapi garang yang mendidik murid-murid. Sebenarnya saya seorang guru yang ceria dan kelakar.
“Saya suka bercerita, kalau bercakap tak berhenti. Ada saja perkara yang nak cakap. Saya juga akan buatkan murid-murid gembira,” kata techer Dian yang mempunyai pengalaman mengajar selama 10 tahun ini.
Menurut teacher Dian yang berasal dari Teluk Intan, Perak itu juga, dia sebenarnya baru sahaja mendaftar akaun TikTok sejak awal tahun kerana mahu mengikuti tip-tip berkaitan keibubapaan, teknik suntingan fotografi dan juga mekap.
“Saya fikir juga tentang bahan apa yang saya perlu post di TikTok. Jadi, saya buat rakaman keadaan saya berada di dalam, kelas. Sebab mak ayah murid-murid pun nak tahu macam mana keadaan guru dan anak-anak mereka di sekolah.
“Saya memang mengikuti tip-tip mekap di TikTok tetapi saya ingin jelaskan yang di dalam video tersebut saya sebenarnya menggunakan filter wajah di story di Instagram, jadi wajah saya nampak seperti bermekap tebal disebabkan oleh filter,” ujar teacher Dian yang mempunyai kegemaran berkaraoke pada waktu terluang.
Teacher Dian yang juga merupakan ibu kepada dua cahaya mata ini turut memberitahu bahawa video-video parodi tiru aksi dengan menggunakan audio daripada video miliknya di laman TikTok amat mencuit hati.
“Saya rasa kelakar sebab bagi saya video tu biasa-biasa saja. Tapi kalau ramai yang melihatnya secara positif dan terhibur, saya syukur Alhamdulillah… macam video parodi
Diana Danielle tu kelakar sangat!
“Bagi komen-komen negatif yang turut saya terima, saya terima dengan hari yang terbuka. Mohon maaf sekiranya ada yang tidak bersesuaian atau yang tidak suka,” tambahnya teacher Dian lagi.