Siapa je tak kenal Datuk Rosyam Nor, sebut sahaja namanya pasti ramai yang tahu pelakon hebat ini sehingga digelar hero nombor satu Malaysia. Namun disebalik kejayaan beliau sebagai seorang pelakon, tersimpan satu kisah yang tidak diketahui ramai.
Dalam satu program temu bual, beliau telah membuat perkongsian kisah pemergian arwah bapanya yang memberikan pengajaran paling besar buat dirinya. Beliau mendedah satu penyesalan yang terbuku dihati apabila tidak dapat mengaji untuk jenazah arwah bapanya.
“Saya tak salahkan ibu bapa kerana saya pun dibesarkan di Kuala Lumpur dan kami tidak ada sekolah agama pada ketika itu. Apabila bapa saya meninggal bayangkan saya tidak boleh mengaji untuk jenazah arwah bapa saya sebab saya tidak tahu mengaji.
“Saya hanya tengok jenazah bapa saya terbujur kaku tapi saya tidak dapat nak mengaji untuk jenazah arwah bapa saya,” katanya.
“Yang saya tahu nak baca pada ketika itu hanyalah Al-Fatihah dan tiga Qul, itu sahaja dan saya merasakan betapa hinanya saya.
“Nama saya besar, saya diangkat menjadi hero nombor satu Malaysia, hero Malaya tapi bila bapa meninggal kau tak boleh sedekahkan,” katanya.
Namun, beliau berkata dia berdoa kepada Allah kerana mahu belajar mengaji dan kemudian beliau telah dipertemukan dengan seorang ustaz pada usia 45 tahun ketika penggambaran akhir filem KL Gangster 2.
“Dari situlah terdetiknya di hati saya… Mak saya selalu pesan apa-apa pun doa. Saya minta pada Allah saya nak mengaji, tolonglah aku Ya Allah.
“Akhirnya Allah temukan seorang ustaz ketika saya berumur 45 tahun, bukan di masjid tetapi di lokasi KL Gangster,” kongsinya.