Pemergian Koperal Baharuddin Ramli, 54, terkorban selepas kejadian berbalas tembak dengan sekumpulan penyeludup di sempadan Malaysia-Thailand telah meraih perhatian ramai.
Berdasarkan perkongsian ahli keluarga dan rakan terdekat, mendiang dikatakan seorang yang sangat berani ketika melakukan risikan meskipun sedar risiko yang bakal dihadapi.
Lebih mencuri tumpuan, mendiang rupanya merupakan seorang anggota dari unit elit PDRM yang sememangnya disegani iaitu, Senoi Praaq.
Senoi Praaq ini merupakan unit yang terdiri daripada 100 peratus suku kaum Orang Asli. Senoi bermaksud orang manakala Praaq bermaksud perang dalam bahasa Semai.
Kehandalan, ketangkasan dan kecekapan Orang Asli dalam ilmu perhutanan menjadikan masyarakat itu sebagai pilihan utama untuk diserapkan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai anggota unit Senoi Praaq, Pasukan Gerakan Am (PGA).
Pasukan berkenaan diasaskan oleh Ketua Jabatan Orang Asli, Richard Noone pada Mei 1956 dengan kekuatan 10 Orang Asli bertujuan menghapuskan ancaman komunis dalam kalangan masyarakat itu di hutan.
Kini, unit yang diletakkan di bawah PGA, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) itu masih berfungsi mengekalkan keamanan negara dan menghindari ancaman musuh terutamanya di hutan di samping terbabit dalam misi mencari dan menyelamat di kawasan itu.
Selepas lebih 60 tahun ditubuhkan, Senoi Praaq kembali menjadi perhatian ramai apabila unit itu turut terbabit dalam misi pencarian seorang remaja perempuan warga Ireland, Nora Anne Quoirin yang hilang di Negeri Sembilan pada Ogos tahun lalu.
Unit itu digunakan untuk menjejak dan mengesan remaja berkenaan selain digunakan bagi mengesan pemburu haram yang merosakkan flora dan fauna pada Oktober tahun lalu.
Unit Senoi Praaq dilatih dengan ilmu pertempuran dan taktik serangan pantas menjadikan ia dianggap legenda kerana kepakaran mengesan dan memburu pengganas komunis (PKM) sehingga jauh ke dalam hutan-hutan tebal hingga ke sempadan negara Thailand.
Baca Lagi : PenjanaKerjaya 2.0: Insentif RM1,000 Buat Golongan Belia
Selain itu, mereka ini amat pakar dalam mengenal pasti denai-denai di hutan dan mahir mengesan jerangkap samar yang dipasang musuh.
Perkara itu diakui sendiri oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, yang mengakui Senoi Praaq mempunyai reputasi yang cemerlang dan baik serta digeruni dalam kalangan penyeludup di sempadan negara, kerana mereka ini amanah dan berintegriti tinggi semasa menjalankan tugas.
Beliau berkata demikian pada sidang media khas berhubung insiden di sempadan Malaysia-Thailand awal pagi ini yang menyaksikan salah seorang daripada anggota Senoi Praaq, Koperal Baharuddin Ramli, 54, dari suku kaum Semelai, terkorban.
Rakan setugasnya Koperal Norihan Tari cedera parah dalam kejadian itu, dan kini dirawat di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar.
CIA Gelar Senoi Praaq Sebagai The Silent Killer
Untuk pengetahuan, unit elit PDRM ini pernah digelar sebagai The SiIent KiIIer oleh CIA dan kepakaran mereka ini pernah digunakan secara rahsia di Laos.
Namun nak dijadikan cerita, selepas Amerika Syarikat keluar dari Laos, Senoi Praaq ini ditinggalkan begitu sahaja (ada yang menganggap mungkin pihak AS tidak ingin rahsia mereka bocor).
Namun dengan kehandalan unit ini, mereka berjaya kembali ke Malaysia walaupun terpaksa berdepan dengan mvsuh sepanjang pulang ke negara ini.
Sedikit info mengenai unit Senoi Praaq ini.
Kepakaran mereka biasanya digunakan pagi operasi mengesan jejak terutama sekali di dalam hutan.
Dikatakan juga Senoi Praq lebih suka bergerak dengan berkaki ayam untuk memudahkan pergerakan mereka selain mengelakkan dari dikesan mus0h namun tidak diketahui kesahihannya.