Kata PM, pengeluaran KWSP adalah tidak perlu kerana kerajaan akan menawarkan pelbagai bentuk bantuan kewangan lain kepada individu dan perniagaan untuk pulih selepas terkesan dek banjir.
KERAJAAN buat masa ini tidak berhasrat untuk membenarkan mereka yang dilanda banjir membuat pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di bawah skim i-Citra, jelas Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Perdana Menteri berkata, pengeluaran KWSP tidak perlu kerana kerajaan menawarkan pelbagai bentuk bantuan kewangan lain kepada individu dan perniagaan untuk pulih selepas terkesan dek banjir yang melanda baru-baru ini.
“Jika anda perlu memulakan perniagaan baharu, Tekun menawarkan pinjaman tanpa faedah sebanyak RM10,000 dengan moratorium setahun ke atas pembayaran pinjaman.
“Bank seperti Bank Simpanan Nasional (BSN) juga menawarkan pinjaman tanpa faedah sebanyak RM10,000 untuk membeli barangan keperluan rumah, dengan moratorium pinjaman selama enam bulan,” katanya seperti dipetik portal berita Free Malaysia Today selepas menghadiri usaha pembersihan di Taman Sri Nanding dan Kampung Dusun Tua pada Ahad.